Sukarnya usaha?
BANYAK tanggapan dibuat bahawa Islam agama berserah. Umat Islam adalah umat menyerah. Pergantungan kepada Tuhan yang tinggi menyebabkan pergantungan kepada nasib tanpa usaha. Doa umat Islam selalunya panjang tetapi ikhtiar umat Islam lazimnya pendek.
Menerima sesuatu walaupun menyalahi agama dikatakan rezeki. Terjadinya sesuatu walaupun kerana kesilapan sendiri dikatakan takdir Allah. Umat Islam sering memilih menjadi tangan yang menerima, lebih dari tangan yang memberi.
Sikap dan mind-set orang-orang Islam memang pelik. Ibadah solatnya hebat, kesan perubahan diri amat kerdil. Menuding kesilapan orang lain menjadi amalan, menginsafi kelemahan sendiri kurang berlaku. Kuman di seberang laut nyata nampaknya, gajah di bibir mata dilupakan saja.
Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Angan-angan tinggi, kemampuan melaksana kurang. Mencacat sesuatu ghairah belaka, melakukan pembaikan pantang sekali.
Sikap berserah kepada Allah tidaklah salah. Berserah tanpa usaha menjadikan umat kalah. Berserah bukan di awal usaha. Kalau tidak dipecahkan ruyung bagaimana mendapat sagunya. Alang- alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
Usaha mendatangkan ikhtiar. Ikhtiar dengan jiwa tawakal menjadikan manusia cekal. Cekal tanpa putus asa membolehkan manusia berjasa. Hujung kejayaan doa dipanjatkan. Antara usaha dan doa, Allah mengkabulkan hati-hati yang ikhlas.
Pergantungan kepada Allah adalah sesuatu yang wajar. Allah memberi manusia akal supaya manusia berfikir. Allah membekalkan manusia hati supaya manusia memiliki neraca pertimbangan.
Ilmu Allah (al-Quran) menjadi suluh kepada akal. Akal yang berkembang tanpa suluh hikmah menjadikan manusia meraba-raba. Pergantungan kepada Allah kerana Allah maha berkuasa dan perkasa. Pergantungan kepada manusia banyak kurangnya.
Doa tidaklah salah. Doa kata Nabi, ibu segala ibadah. Doa juga senjata untuk untuk orang-orang Mukmin. Doa tidak saja permohonan dan harapan, doa adalah usaha dan ikhtiar. Doa adalah dedikasi dan kesabaran. Doa adalah azam dan tekad. Doa adalah roh untuk berjaya.
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa, melainkan bangsa itu sendiri mengubah dirinya sendiri. Mengubah diri perlukan ilmu.
Ilmu yang benar dan bermanfaat mendukung akhlak. Ilmu tanpa akhlak sifatnya tidak membimbing. Ilmu tanpa nilai menjadikan manusia hilang pedoman. Al-Quran memberi manusia nilai.
Nilai-nilai Qurani mempedoman manusia jalan yang benar dan jalan yang salah. Mengembalikan diri kepada nilai-nilai Qurani meletakkan manusia sentiasa berada dalam keadaan fitrah. Inilah asas kemajuan dan perubahan dalam Islam. Menolak fitrah bermakna menolak jalan Islam.
Rezeki adalah sesuatu yang baik datang dari Allah. Anugerah Allah ini diperoleh dengan niat yang baik, matlamat yang betul dan cara yang tidak menyalahi syarak.
Mengaitkan sesuatu sebagai rezeki dari Allah ialah menghubungkan usaha dan ikhtiar yang diredainya. Jalan berfikir seperti ini harus jelas supaya sesuatu yang baik dari Allah tidak disalahfaham atau disalahguna. Rahmat dan nikmat Allah adalah untuk kebaikan.
Kebaikan itu apabila dilimpahkan kepada yang berhak ia memberi barakah yang tinggi. Barakah sering menjadi hikmah yang hilang dalam usaha dan ikhtiar manusia.
Takdir Allah boleh berlaku pada sesiapa. Baik dan buruk adalah takdir. Ia terkandung hikmah. Kebaikan dari Allah yang tidak diterima dengan rasa syukur boleh menjadi musibah. Keburukan yang diterima, mendorong seseorang bersyukur ia boleh membawa kepada rahmah. Musibah dari Allah selalunya membawa ujian.
Bagi yang sabar, ia bakal mendapat jawapannya. Bagi yang gopoh dan gelojoh, menyebabkannya hilang pertimbangan. Hidup adalah suatu perjalanan. Ada ketika manusia melalui lebuh raya yang luas. Leka dan lalai boleh menyebabkan kemalangan. Ada ketika manusia melalui jalan yang kecil dan berliku. Berhati-hati menyebabkan perjalanan selamat.
Takdir jangan dipersalahkan. Takdir harus disyukuri. Hikmah dari takdir adalah sekolah hidup. Darinya manusia mengenal Allah dan mengetahui kekuasaan-Nya. Darinya manusia akan sentiasa berjiwa rukuk dan sujud serta berjiwa hamba.
Semangat kekhalifan menyebabkan putus asas tidak ada. Ikhtiar disertai doa, doa diiringi tekad dan azam yang tinggi menjadikan usaha diredai dan diberkati.
Tidak salah menjadi tangan yang menerima sekiranya seseorang itu berhak. Lebih mulia menjadi tangan yang memberi kerana ia menjadi orang yang bersyukur. Orang yang bersyukur memiliki harga diri.
Rahmat dan nikmat yang melimpah maksudnya untuk manusia. Rezeki tidak datang bergolek. Usaha dan doa tidak harus putus. Tangan yang memberi memakmurkan sedekah. Sedekah dari sumber yang halal adalah ibadat. Ibadat yang berterusan membawa berkat.
Bekerjalah remaja seolah-olah kehidupan itu 1,000 tahun. Hubungkan kerja sebagai ibadah seolah-olah kematian akan berlaku pada keesokan hari.(Dipetik dari Bicara Agama karangan PROF. DR. SIDEK BABA, Utusan Malaysia Online - link)